Gagal jelaskan wang dalam akaun, 10 lelaki didenda RM1,000 


MAHKAMAH Majistret Ampang di Kuala Lumpur menjatuhkan denda RM1,000 setiap seorang kepada 10 lelaki kerana gagal memberikan penjelasan mengenai wang berjumlah RM3.14 juta milik seorang guru swasta lelaki, dalam akaun bank mereka.

Majistret Normaizan Rahim menjatuhkan hukuman ke atas kontraktor Mohamad Saifuddin Ismail, 29; pemandu lori Mohammad Anas Kamarudin, 31; pengawal keselamatan Muhammad Ariff Ahmad Tajuddin, 29; juruteknik Muhamad Helmi Ahmad, 39; nelayan Mohd Syukur Maula Muhamad Desa, 32, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Turut mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut pengawal keselamatan Mohd Hafiz Kamis, 38; peniaga Muhammad Ikhwan Iswandy Ramli, 38; kerja kampung Mohd Nizam Mat Jasat, 51; penyelia tapak pembinaan Khairul Mizan Mohamad Johari, 31; dan kontraktor S.Vikneswaran, 29.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, kesemua lelaki itu masing-masing didakwa tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana memperoleh wang keseluruhannya berjumlah RM3.14 juta milik seorang guru swasta berusia 31 tahun, antara 2 Februari hingga 4 April lalu.

Kesemua kejadian itu didakwa dilakukan di dua bank di Ampang, mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu (mangsa) telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menyatakan pengadu mempunyai tunggakan cukai selama 15 bulan berjumlah RM17,600.76 atas Syarikat Trillion Star Enterprise, yang didaftarkan atas nama pengadu.

Apabila pengadu menafikan hal tersebut, panggilan telah disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Faisal Amir dan Ketua Operasi Polis Kedah, bernama Datuk Rizal yang mana mereka mendakwa pengadu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram dengan menggunakan akaun Public Bank Berhad milik pengadu.

Pengadu telah mengikut arahan suspek dan bertindak membuka akaun baharu serta menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek dan hasil siasatan mendapati wang milik pengadu telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik kesemua tertuduh.

Semasa hujahan rayuan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman denda yang minimum tanpa pemenjaraan ke atas kesemua anak guamnya atas alasan mereka perlu menanggung keluarga. 

“Dalam kes ini, anak guam saya juga merupakan mangsa dan tidak sedar akaun bank digunakan oleh pihak ketiga. Mereka tidak memperoleh apa-apa manfaat atas kerugian yang ditanggung pengadu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Annur Athirah Amran dan Nurul Ameera Sam memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam adalah melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

“Selaku pemegang akaun, tertuduh perlu mengambil tahu transaksi yang berlaku dalam banknya sendiri terutamanya ia melibatkan jumlah yang besar. Mahkamah juga perlu mengambil kira kekerapan kes yang mana hampir setiap hari kes sedemikian dipertuduhkan di mahkamah, selain kerugian yang ditanggung oleh pengadu,” kata kedua-dua TPR itu. – Bernama, 10 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen