PRESIDEN China, Xi Jinping menegaskan agar usaha harus diperkasakan untuk mengekalkan pembangunan ekonomi mampan dan kestabilan sosial secara keseluruhan, ketika meninjau provinsi Sichuan baru-baru ini.
Beliau menuntut agar konsep pembangunan baharu dilaksanakan secara menyeluruh, tepat dan komprehensif, selain berkhidmat secara aktif serta menyepadukannya ke dalam pola pembangunan baharu.
“Usaha-usaha tersebut perlu dilakukan untuk menyelaraskan pencegahan penularan wabak Covid-19 dengan pembangunan sosioekonomi,” kata beliau.
Pada Rabu, Xi yang melawat beberapa tempat di bandar Meishan dan Yibin di provinsi di barat daya China itu turut mahu pembangunan dan pentadbiran di provinsi itu dipertingkat ke tahap baharu.
Menyentuh mengenai bencana alam dan geologi seperti banjir di beberapa kawasan di China mutakhir ini, Xi meminta pihak kerajaan tempatan dan pihak-pihak berkuasa berkaitan untuk menyediakan tindak balas kecemasan dengan lebih awal, serta meningkatkan keupayaan menangani bencana untuk menjamin keselamatan nyawa dan harta rakyat.
Pada 1 Jun, gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda Ya’an di provinsi Sichuan dan susulan itu, Xi mengarahkan kerajaan menjalankan operasi menyelamatkan dan pemulihan untuk membolehkan penduduk dapat kembali menjalani kehidupan biasa secepat mungkin.
Dalam rangka lawatannya ke Sichuan, Xi turut meninjau Sanjiangkou di bandar Yibin untuk mengetahui pemulihan dan perlindungan ekologi di kawasan perairan Sungai Yangtze serta pelaksanaan larangan penangkapan ikan di sungai itu.
Menurut beliau, melindungi ekologi di kawasan perairan Sungai Yangtze merupakan prasyarat untuk mendorong pembangunan ekonomi bermutu tinggi di Jalur Ekonomi Sungai Yangtze serta keperluan untuk menjaga tamadun China.– Bernama, 10 Jun, 2022.
Komen