PRESIDEN Volodymyr Zelensky berkata tentera Ukraine masih bertahan di kawasan timur bandar Severodonetsk yang mana pertempuran jalanan sengit dengan tentera Rusia boleh menentukan nasib wilayah Donbas.
Moscow telah menumpukan kuasa tembakannya ke bandar perindustrian, yang sebahagian besarnya dikawal, dengan gabenor kawasan itu pada Jumaat berkata tentera Rusia telah memusnahkan sebuah arena sukan utama.
Pemberontak pro-Rusia menjatuhkan hukuman mati kepada seorang warga Maghribi dan dua pejuang Britain pada Khamis selepas mereka ditangkap ketika berjuang untuk Ukraine dan dituduh bertindak sebagai askar upahan untuk Kyiv.
Zelensky dalam ucapanya pada malam Khamis berkata beberapa “bandar di Donbas, yang kini dianggap sebagai sasaran utama, sedang dipegang oleh penjajah”.
Beliau menambah bahawa tentera Ukraine telah membuat kemajuan positif di wilayah Zaporizhzhia dan Kharkiv, dan sedang dalam proses “membebaskan tanah air kita”.
Dengan pertempuran paling sengit kini tertumpu di Severodonetsk, gabenor Sergiy Gaiday—yang sebelum ini menyeru agar artileri Barat segera membantu memastikan kemenangan Ukraine—berkata “salah satu simbol Severodonetsk telah musnah. Istana Ais terbakar”.
Negara-negara Barat telah menyediakan senjata dan bantuan untuk Ukraine sejak pencerobohan 24 Februari, manakala beberapa orang dari luar negara telah menyertai perjuangan menentang tentera Rusia.
Sehingga 100 askar Ukraine terbunuh setiap hari dalam pertempuran barisan hadapan dan seramai 500 cedera, kata Menteri Pertahanan Oleksiy Reznikov. – AFP, 10 Jun, 2022.
Komen