SEORANG remaja lelaki 14 tahun ditahan di Perancis susulan disyaki menikam seorang gadis 13 tahun hingga mati, kata polis pada Khamis.
Mayat mangsa ditemui awal pagi semalam dengan banyak kesan keganasan berhampiran sekolah rendahnya di sebuah kampung di utara Lyon, kata polis.
Sumber berkata siasatan awal mendapati pasangan itu mungkin putus cinta, sambil menambah gadis itu hilang lewat Rabu dan polis dikerahkan mencari mangsa di sekitar perkampungan penanaman wain yang berpopulasi 800 penduduk.
Ketua sekolah wilayah Pierre N’Gahane berkata gadis itu pelajar di sebuah sekolah menengah di Lugny, sebuah bandar berhampiran kampung asalnya Clesse.
“Kita pun tidak faham apa yang berlaku,” katanya kepada penyiar televisyen BFM.
Tiada laporan mengenai buli di sekolah gadis itu, tambahnya sambil menyifatkan mangsa sebagai pelajar yang baik.
N’Gahane tidak dapat mengesahkan gadis itu dan suspek baru-baru ini berpisah, tetapi berkata ia “mungkin”. – AFP, 10 Jun, 2022.
Komen