PMO senarai pendek calon pesuruhjaya Suhakam, kata pegawai khas PM


Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata dakwaan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkenaan isu kelewatan isi kekosongan pesuruhjaya Suhakam tidak wajar. – 10 Jun, 2022.

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) sudah mula menyediakan senarai calon Suruhanjaya Suhakam, kata Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Pegawai khas perdana menteri itu berkata senarai calon akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam wujud pada 26 April 2022, hari ini baru 10 Jun 2022.

“Perlu diingat, waktu Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan dulu, PH mengambil masa dua bulan untuk mengisi pada 26 Jun 2019 kekosongan jawatan pesuruhjaya Suhakam yang wujud pada 26 April 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya PH hanya mengisi kekosongan jawatan pada 26 Jun 2019 selepas kekosongan jawatan pada 26 April.

Bekas pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata pelantikan hanya boleh diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong atas saranan perdana menteri seperti yang diperuntukkan dalam Akta Suhakam 1999.

Kamarul memberi maklum balas terhadap soalan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang mengkritik kelewatan dalam melantik pesuruhjaya Suhakam.

Dalam satu kenyataan semalam Santiago mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lambat bertindak berhubung pelantikan itu dan tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia sejak pelantikannya tahun lepas.

Tetapi Kamarul berkata kritikan itu tidak adil kerana perdana menteri sudah beberapa kali menekankan kepentingan hak asasi manusia di Malaysia.

“Dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2022 pada 31 Disember 2021, beliau menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengadakan transformasi sistem kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini. 

“Dalam ucapan sempena Hari Wartawan Nasional 2022 pada 29 Mei, beliau menekankan betapa kerajaan beliau tidak pernah mengekang suara pihak media serta menjamin kebebasan bersuara di negara ini,” katanya.

Beliau berkata perdana menteri sering menekankan bahawa kerajaan beliau akan memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara.

Oleh itu dakwaan Santiago adalah tidak wajar, kata Kamarul. – 10 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen