Hishammuddin perlu selesaikan isu pencen veteran, kata Ramasamy


Awal minggu ini ratusan pesara veteran tentera di seluruh negara mengadakan perhimpunan aman menggesa kerajaan melihat kebajikan mereka dan mengkaji semula kadar bayaran serta pencen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2022.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein perlu bertanggungjawab dalam memastikan Kabinet meluluskan skim pencen bagi veteran tentera yang bersara awal, kata P Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu juga berkata Hishammuddin tidak sepatutnya menyerahkan tanggungjawab itu kepada orang lain.

“Kenapa Hishammuddin tidak boleh bangkitkan soal veteran dalam Kabinet untuk peruntukan khas?

“Hishammuddin mengatakan bayaran pencen kepada veteran melibatkan kementerian lain pada dasarnya menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab.

“Sikap tidak bertanggungjawab seorang menteri tidak boleh diterima,” kata pemimpin DAP itu.

Anggota tentera mesti berkhidmat selama 21 tahun untuk layak mendapat pencen. Mereka yang bersara awal dikecualikan daripada faedah ini.

Awal minggu ini ratusan pesara veteran tentera di seluruh negara mengadakan perhimpunan aman menggesa kerajaan melihat kebajikan mereka dan mengkaji semula kadar bayaran serta pencen. 

Susulan itu Hishammuddin berkata tuntutan yang dibangkitkan veteran angkatan tentera termasuk berkaitan pencen melibatkan beberapa kementerian lain.

Menteri pertahanan berkata tuntutan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk pencen bukan hanya melibatkan Kementerian Pertahanan sebaliknya banyak pihak lain lebih-lebih lagi jika ia berkait rapat dengan kemampuan atau kewangan negara.

Hishammuddin bagaimanapun berjanji akan meneruskan agenda membela veteran ATM dan tuntutan mereka akan diberi perhatian sewajarnya.

Ramasamy berkata menteri itu tidak seharusnya memberi alasan sebaliknya menyelesaikan rungutan mereka.

Tambahnya kementerian pastinya perlu mempunyai bajet tahunan bukan sahaja untuk membeli aset tetapi juga menjaga gaji dan bayaran lain kepada anggota tentera termasuk veteran. – 10 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen