BRAZIL mengesahkan kes pertama cacar monyet melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun yang mengembara ke Eropah, umum kementerian kesihatan semalam.
Cacar monyet adalah penyakit yang jarang berlaku secara amnya dikesan di Afrika barat dan tengah.
Ia berkaitan tetapi kurang teruk daripada cacar yang menyebabkan ruam, demam, menggigil dan sakit.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencatatkan hampir 1,000 kes penyakit itu di 29 negara di mana ia bukan endemik.
Kebanyakannya dikesan di Britain, Kanada, Jerman, Portugal dan Sepanyol.
Rakyat Brazil pertama yang dijangkiti telah ke Sepanyol dan Portugal, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.
Dia dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil, katanya sambil menambah kontak rapatnya juga sedang dalam pemerhatian.
Brazil merupakan negara Amerika Latin ketiga yang mendaftarkan kes cacar monyet selepas Argentina dan Mexico.
Setakat ini WHO berkata tiada kematian dilaporkan di negara berkenaan. – AFP, 10 Jun, 2022.
Komen