LEBIH AS$710 juta telah ditukar kepada ringgit untuk akaun pelanggan VIP Ambank antara 2012 dan 2013, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan hari ini semasa perbicaraan 1MDB melibatkan Najib Razak.
Naib Presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan AmBank Salmah Daman Huri bagaimanapun tidak menamakan pelanggan VIP yang didakwa menerima wang itu.
Membaca kenyataan saksinya, Salmah berkata pada 31 Oktober 2012, jabatannya telah menukar AS$5 juta kepada lebih RM15 juta (mengikut kadar pertukaran ketika itu) ke akaun yang dikenali sebagai Amprivate Banking Mr C/O Amprivate Banking.
Tambah saksi ke-23 pihak pendakwaan itu, pada November 2012, kira-kira AS$25 juta telah ditukar kepada lebih RM75 juta yang turut dipindahkan ke akaun “Mr C/O Amprivate Banking”.
Setahun kemudian, pada 22 Mac 2013, Salmah berkata tiga lagi transaksi berasingan berjumlah AS$50 juta ditukar kepada RM155 juta.
“Empat hari kemudian pada 26 Mac, hampir AS$61 juta ditukar kepada RM188 juta. Pada 28 Mac, AS$75 juta dan AS$45 juta masing-masing ditukar kepada lebih RM231 juta dan lebih RM138 juta,” katanya kepada mahkamah.
Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah berhubung penyelewengan dana 1MDB RM2.28 bilion.
Beliau berdepan 25 pertuduhan, empat untuk salah guna kuasa dan 21 untuk pengubahan wang haram, bagi kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2011 dan 2013.
Tambah Salmah, sebulan kemudian, AS$50 juta lagi dalam akaun itu ditukar kepada RM152 juta.
“Pada 8 April, AS$50 juta ditukar kepada RM152 juta dan pada hari berikutnya AS$100 juta ditukar kepada RM304 juta.
“Kemudian pada 10 April, AS$200 juta ditukar kepada RM652.6 juta,” katanya.
Salmah tidak sempat membaca kenyataan penuhnya hari ini kerana perbicaraan ditangguhkan ke Isnin. – 9 Jun, 2022.
Komen