RANCANGAN pelaksanaan hukuman mati terhadap empat tahanan politik yang diumumkan junta tentera di Myanmar adalah satu pencabulan nyata terhadap hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, kata Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M).
Menurut SAC-M, kumpulan bebas pakar antarabangsa yang bekerja menyokong rakyat Myanmar dalam perjuangan untuk hak asasi manusia, keamanan, demokrasi, keadilan dan akauntabiliti, pemimpin tentera Myanmar dan mereka yang melaksanakan perintah itu, termasuk hakim, harus disiasat dan didakwa atas jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah antarabangsa.
“Junta tentera mencabul hak asasi manusia secara besar-besaran dan bertindak ganas dengan melakukan serangan berterusan, meluas dan sistematik terhadap penduduk awam sebagai tindak balas kepada penentangan seluruh negara terhadap cubaan rampasan kuasa pada Februari 2021,” menurut SAC-M.
Junta Myanmar baru-baru ini mengumumkan rancangannya untuk menghukum mati empat tahanan politik termasuk seorang bekas Ahli Parlimen dari Liga Demokrasi Kebangsaan Aung San Suu Kyi iaitu Phyo Zeya Thaw dan aktivis prodemokrasi terkenal Kyaw Min Yu, atau “Ko Jimmy”.
Kedua-duanya dijatuhkan hukuman mati pada Januari tahun ini di bawah Undang-undang Cegah Keganasana Myanmar 2014. Pada 3 Jun, Myanmar mengumumkan bahawa rayuan mereka ditolak.
Dua lagi lelaki dilaporkan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang wanita, dipercayai sebagai rakan kongsi yang bekerja untuk junta.
Ahli pengasas SAC-M, Marzuki Darusman berkata ‘hukuman mati’ dalam kes ini hanyalah perlindungan undang-undang yang sengaja diwujudkan untuk semua tindakan keganasan. Secara asasnya ia ditakrifkan sebagai kekejaman hak asasi manusia.
Sementara itu, Yanghee Lee juga dari SAC-M berkata pengumuman junta tentera itu mesti dikecam secara global.
“Semua usaha mesti dilakukan untuk menamatkan kekejaman junta tentera di Myanmar dan membawa pemimpinnya ke muka pengadilan,” katanya.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata hampir 700,000 orang hilang tempat tinggal di Myanmar akibat konflik dan keadaan tidak selamat sejak rampasan kuasa Februari 2021.
Dianggarkan lebih 12,700 hartanah termasuk rumah, gereja, biara dan sekolah musnah semasa pertempuran, meskipun angka yang tepat sukar untuk disahkan.
Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, sejak rampasan kuasa 1 Februari 2021, lebih 1,900 orang termasuk penunjuk perasaan antirampasan kuasa dan peserta demonstrasi terbunuh manakala lebih 10,000 orang ditahan di penjara. – Bernama, 9 Jun, 2022.
Komen