ARTILERI jarak jauh Barat akan membolehkan Ukraine menewaskan semula tentera Rusia dan menawan kembali Severodonetsk dalam beberapa hari, kata pegawai wilayah itu pada Khamis.
“Sebaik sahaja kami dapat artileri jarak jauh bertempur dengan artileri Rusia, pasukan khas kami akan dapat tawan kembali bandar dalam dua hingga tiga hari,” kata gabenor wilayah Lugansk Sergiy Gaiday.
Tentera Moscow sedang menumpukan serangan di hab perindustrian penting dan strategik itu sebagai sebahagian daripada usaha Rusia untuk menawan timur Ukraine.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Rabu menyifatkan pertempuran itu sebagai “salah satu yang paling sukar” sejak perang bermula.
Gaiday berkata pada Khamis tentera Ukraine di bandar itu “bermotivasi tinggi”.
“Rusia sentiasa membedil dengan artileri kawasan yang dikawal oleh Ukraine,” tambahnya.
Amerika Syarikat dan Britain telah mengumumkan untuk membantu Kyiv dengan memberi bateri artileri ketepatan jarak jauh, mengingkari amaran pemimpin Rusia Vladimir Putin.
Wilayah Lugansk secara meluas berada di bawah serangan mortar, artileri dan roket yang berterusan, kata pejabat presiden Ukraine.
Ia berkata empat orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan udara Rusia di Toshkivka, sebuah kampung sekitar 25 kilometer selatan Severodonetsk. – AFP, 9 Jun, 2022.
Komen