Zuraida sah sertai PBM, dilantik presiden pengganti


Elill Easwaran

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin yang menyertai PBM hari ini turut dilantik sebagai presiden pengganti parti itu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Jun, 2022.

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin, yang kini secara rasmi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), turut dinamakan sebagai presiden pengganti hari ini.

Presiden parti Larry Sng berkata ini adalah atas permintaan akar umbi dan majlis parti.

“Apabila saya tidak dapat menghadiri mesyuarat, presiden pengganti yang akan memimpin,” katanya pada sidang media di Ampang hari ini untuk mengalu-alukan Zuraida secara rasmi menyertai parti itu.

Ampang juga merupakan kawasan Parlimen Zuraida, yang dimenangi atas tiket PKR sebelum beliau melompat parti ke Bersatu selepas Langkah Sheraton tahun lepas yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan. Beliau kemudiannya melompat dari Bersatu ke PBM, mengumumkan keputusannya pada 26 Mei, dan juga kesanggupannya untuk meletakkan jawatan dalam kabinet sebagai menteri.

Sng berkata PBM berharap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengekalkan jawatan menteri Zuraida sepanjang penggal kerajaan.

Walaupun Zuraida hadir pada majlis hari ini, pihak media dilarang bertanyakan sebarang soalan kepadanya. Hanya Sng yang bercakap, dan berkata bahawa Zuraida akan mengadakan satu lagi sidang media dalam beberapa hari akan datang.

Bagaimanapun, Zuraida ada mengulas bahawa Ismail Sabri masih belum memberikan tarikhnya untuk bertemu bagi membincangkan jawatan kabinetnya.

“Seperti yang kita semua tahu, perdana menteri sangat sibuk dengan jadual hariannya jadi apabila tiba masanya, kita akan mengadakan mesyuarat,” kata ahli Parlimen Ampang itu.

Sejak pengumumannya, Umno menggesa Ismail Sabri menggugurkan Zuraida daripada kabinet dan menyerahkan portfolio itu kepada parti Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Bersatu berkata ia akan menamakan calon baharu untuk mengambil alih jawatan Zuraida.

Mengenai PBM, Sng berkata parti baharu itu kini mempunyai lebih 100,000 ahli.

“Terdapat lebih banyak menunggu untuk didaftarkan dari 196 kawasan pilihan raya yang berbeza di negara ini,” kata ahli Parlimen Julau itu, yang meninggalkan PKR untuk menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong perdana menteri dan presiden Bersatu sebelum ini, Muhyiddin Yassin.

Sng kemudiannya mengasaskan PBM dan kini dikatakan berminat untuk menyertai BN.

Ketika ditanya sama ada ahli PKR lain yang melompat ke Bersatu bersama Zuraida juga akan menyertai PBM, Sng berkata sesiapa sahaja boleh menyertai parti mereka.

“PBM mengalu-alukan sesiapa sahaja daripada mana-mana parti untuk menyertai kami,” katanya. – 9 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen