MESYUARAT Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan pindaan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti tidak akan diadakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan itu dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memutuskan tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan RUU (Pindaan) berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
“Pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung kerajaan adalah RM1,077,600, tidak termasuk kos operasi jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan,” katanya.
Wan Junaidi semalam berkata ia mencadangkan untuk sidang khas Parlimen RUU itu diadakan.
Beliau berkata sebab lain mesyuarat khas tidak boleh dilakukan ialah kerana ramai ahli Parlimen terbabit dalam lawatan ke luar negara pada ketika ini sehingga pertengahan Julai 2022 bagi mengikuti program anjuran Parlimen.
Wan Junaidi berkata pindaan itu akan dibahaskan pada 18 Julai.
Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang RUU itu akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang disediakan.
“Penyata ini akan dibentangkan semasa sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan RUU berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya. – 9 Jun, 2022.
Komen