Festival Bon Odori erat semangat muhibah rakyat Malaysia-Jepun, kata Sultan Selangor


Festival Bon Odori di Malaysia adalah perayaan kebudayaan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun di negara ini, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2022.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berpandangan Festival Bon Odori yang diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, merupakan satu perayaan kebudayaan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Baginda bertitah apa saja bentuk budaya yang diamalkan setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubung kait dengan agama namun seiring peredaran zaman, amalan budaya tersebut tidak lagi menonjolkan ciri keagamaan.

Titah baginda lagi sambutan Bon Odori di Malaysia lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun serta produk makanan tempatan.

“Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook, Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin bertitah festival itu telah menjadi popular apabila banyak syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor dan ia menjadi platform bagi memperkenalkan budaya hiburan Jepun.

Sultan Sharafuddin memaklumkan baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Bagaimanapun, baginda menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.

Baginda tidak mahu pihak tertentu khususnya ahli politik menggunakan isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.

Sultan Sharafuddin juga menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam dan perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat.

Pada masa sama, baginda mencadangkan agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad untuk hadir ke program sambutan Bon Odori pada 16 Julai, 2022 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic) supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

Baginda juga tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi Jakim. – Bernama, 9 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen