Pembangkang khuatir, sebab itu mahu lengahkan PRU15, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang sebenarnya gentar untuk menghadapi PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2022.

PEMBANGKANG memberi macam-macam alasan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ditangguhkan, kata Ahmad Zahid Hamidi, ketika partinya Umno mendesak agar ia diadakan segera.

“Dulu pembangkang beri alasan Covid-19, oleh itu PRU15 tidak boleh diadakan, kini alasan inflasi pula,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Presiden Umno itu berkata pembangkang sebenarnya mahu ‘membeli masa’ untuk sekali lagi membohongi rakyat.

Tambahnya, alasan demi alasan itu sebaliknya mendedahkan kebimbangan mereka untuk menghadapi pilihan raya.

“Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa.

“Mahu ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menafikan dakwaan pembangkang bahawa mempercepatkan PRU15 akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Menurut Zahid, PRU15 adalah langkah paling demokratik untuk rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang stabil, yang seterusnya membolehkan usaha-usaha menangani kenaikan kos sara hidup dapat dilakukan dengan lebih efektif.

“Yang labelkan kerajaan campuran hari ini sebagai kerajaan cap ayam adalah pembangkang.

“Yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan ini pembangkang. Sehinggakan keputusan melarang eksport ayam bagi mencukupi keperluan rakyat turut dikecam.

“Tetapi apabila disaran PRU15 agar rakyat diberi mandat memilih sebuah kerajaan baharu pembangkang marah,” jelasnya.

Gesaan agar PRU15 diadakan lebih awal, terutama dari pemimpin Umno yang berdepan kes besar di mahkamah meraih kritikan kerana dilihat sebagai usaha untuk mengelak pengadilan.

Hari ini, Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas satu tuduhan pindaan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara(VLN).

Beliau berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya semasa jadi menteri dalam negeri, bagi melanjutkan kontrak UKSB sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem VLN.

Suapan itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pada 24 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – 9 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen