SEBUAH pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) membawa lima anggota marin terhempas di selatan California pada Rabu, menurut seorang jurucakap.
Masih belum dapat disahkan sama kelima-lima mereka selamat atau tidak, katanya kepada AFP.
Tentera AS dalam pada itu menafikan pesawat tersebut membawa bahan radioaktif semasa terhempas dekat Glamis, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari sempadan Mexico.
“Kami mengesahkan sebuah pesawat milik Skuadron Pesawat Marin Ke-3 terhempas dekat Glamis.
“Lima anggota berada dalam pesawat dan kami masih menunggu pengesahan mengenai status semua anak kapal.
“Anggota pasukan kecemasan dan tentera kini berada di lokasi kejadian. Pesawat itu tidak membawa bahan nuklear seperti yang dihebohkan di media sosial,” kata jurucakap itu.
Pesawat yang terhempas itu dikenal pasti sebagai MV-22B Osprey yang berpangkalan di Kem Stesen Udara Kor Marin Pendleton di California. – AFP, 9 Jun, 2022.
Komen