UMNO, parti utama dalam Barisan Nasional (BN) mendesak pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini demi kepentingannya dan mengelak pengundi berang berhubung kenaikan harga barang, kata penganalisis politik.
Mereka berkata Najib Razak juga memikirkan kesilapannya sendiri apabila memberi amaran kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak mengulang apa yang dilakukannya ketika menjadi perdana menteri apabila lewat mengadakan PRU14.
Profesor James Chin dari the Universiti Tasmania berkata jika Umno mahu mengelak pengundi marah, sekarang adalah masa tepat untuk mengadakan pilihan raya.
“Banyak ramalan menunjukkan ekonomi akan bertambah buruk tahun depan.
“Jika mereka tidak mahu rakyat marah, daripada segi kos sara hidup, sekarang mungkin waktu terbaik pilihan raya diadakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chin berkata ada kemungkinan juga perbicaraan kes rasuah membabitkan Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan selesai tahun depan.
“Ini juga antara sebab mengapa pilihan raya umum perlu diadakan sekarang.”
Tarikh PRU15 masih belum ditetapkan, di mana ia perlu diadakan sebelum Julai 2023 apabila penggal Parlimen tamat.
Ismail Sabri berdepan dengan tekanan daripada partinya supaya PRU15 diadakan serta-merta, memetik kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Pada konvensyen BN minggu lalu, Najib menggesa perdana menteri supaya tidak melengahkan PRU15 kerana risikonya amat tinggi.
Pada PRU 2018, BN kalah kepada Pakatan Harapan (PH) dan hilang kuasa persekutuan buat pertama kalinya dalam tempoh 60 tahun, apabila ia hanya menang 74 kerusi berbanding 121 dimenangi PH. PAS pada PRU itu menang 18 kerusi.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata walaupun BN mahu bersandarkan kepada kemenangannya pada PRN baru-baru ini, pilihan raya umum sangat berbeza daripada PRN.
“Jika PRU diadakan sekarang ia mungkin beri keburukan kepada parti tertentu.
“Dengan penambahan pengundi baharu, ia mungkin jadi faktor utama yang akan mempengaruhi keputusan majoriti siapa yang akan mengundi nanti.
“Tidak ada petanda jelas PRU15 akan beri keuntungan kepada mana-mana parti yang berfikir mereka boleh menang dengan mudah,” katanya.
Chin berkata mereka yang tidak mahu PRU15 diadakan sekarnag ialah DAP dan PKR yang bimbang mereka akan kalah teruk.
PRU kali ini juga dijangka tidak membawa pemimpin yang lebih baik, kata Chin.
Hisomuddin berkata persoalan tentang pemimpin masih belum dibincangkan lagi kerana fokus sekarang ialah tentang pembubaran Parlimen.
“Barisan calon BN akan ditentukan oleh pemimpin parti pada masa ini, yang memang sudah ditolak majoriti rakyat pada PRU lalu.
“Bagi pembangkang, ini adalah ruang untuk mereka meletakkan calon berkelayakan, menarik dan mungkin beri peluang kepada calon muda.”
Chin dan Hisommudin bersetuju pilihan raya umum ini bukan untuk kepentingan rakyat.
“Rakyat mahu kestabilan politik, kembali kepada keadaan normal, ekonomi dan kehidupan lebih baik. Malangnya, mereka tidak akan dapta semua ini.
“Ahli politik tertinggi yang tentukan (bila PRU akan diadaka). Kalau mereka tanya pendapat rakyat sekalipun, meraka tidak pernah dengar, jadi ia tidak relevan,” kata Chin. – 9 Jun, 2022.
Komen