Rusia, China tuduh AS sengaja cari pasal dengan Korea Utara


Washington percaya Korea Utara sedang bersiap sedia untuk menguji senjata nuklear baharu. – Gambar EPA, 9 Jun, 2022.

CHINA dan Rusia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuduh Amerika Syarikat (AS) sengaja mencetus ketegangan di Semenanjung Korea.

Sidang pada Rabu itu diadakan untuk Beijing dan Moscow menjelaskan tindakan mereka menggunakan kuasa veto ke atas usul AS bulan lepas, yang mendesak PBB menambah sekatan terhadap Korea Utara. 

Duta China ke PBB Zhang Jun mengecam usul tersebut, berkata AS menjadi punca ketegangan di Semananjung Korea meningkat. Zhang selain itu menggesa supaya sekatan ke atas Korea Utara dilonggarkan.

Gesaan itu disokong Timbalan Duta Rusia ke PBB Anna Evstigneeva.

Evstigneeva berkata Korea UTara memerlukan banyak bantuan kemanusiaan, dan Barat perlu berhenti menyalahkan Pyongyang sebagai punca ketegangan.

Tuduhan China dan Rusia itu dibangkang wakil duta besar AS ke PBB Jeffrey DeLaurentis berkata sekatan ke atas Korea Utara ketika ini, dan tambahan sekatan yang diusulkan adalah tindak balas kepada tindakan Pyongyang.

“Kami menawarkan dialog tanpa sebarang syarat dengan Pyongyang. Kami juga sudah sampaikan mesej ini secara peribadi, termasuk dari pegawai kanan AS kepada pegawai kanan Korea Utara, ” katanya.

Washington percaya Korea Utara sedang bersiap sedia untuk menguji senjata nuklear baharu. – AFP, 9 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen