Kes cacar monyet kini lebih 1,000, kata WHO


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata lebih 1,000 kes cacar monyet telah disahkan setakat ini, yang dikesan di 29 negara bukan endemik. – Gambar EPA, 9 Jun, 2022.

RISIKO penularan cacar monyet di negara-negara luar Afrika adalah nyata, dengan lebih 1,000 kes  dilaporkan setakat ini, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO bagaimanapun tidak menyarankan vaksinasi besar-besaran kerana wabak itu boleh dicegah, selain tiada kematian dilaporkan di negara-negara bukan endemik, menurut ketua pengarahnya Tedros Adhanom Ghebreyesus.

“Lebih 1,000 kes disahkan kepada WHO yang dikesan di 29 negara bukan endemik.

“Setakat ini tiada kematian dilaporkan di negara terbabit,” katanya, menambah kebanyakan kes membabitkan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

Tedros berkata beberapa negara melaporkan penularan dalam komuniti, termasuk beberapa kes dalam kalangan wanita.

Cacar monyet adalah penyakit berjangkit yang kesannya adalah ringan dan endemik (lazim berlaku) di negara di wilayah barat dan tengah benua Afrika. Wabak itu kini dilaporkan menular di banyak negara Eropah, terutamanya di Britain, Sepanyol dan Portugal.

Paling baru, kes cacar monyet dikesan di Greece pada Rabu, membabitkan seorang lelaki yang pulang dari Portugal. Pesakit kini dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Virus cacar monyet boleh menyebabkan gejala termasuk demam, sengal otot dan ruam.

Ia tersebar menerusi kontak rapat dan mudah dicegah dengan kuarantin serta menjaga kebersihan diri. – AFP, 9 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen