Wan Junaidi diberi mandat laksana libat urus penyediaan akta transformasi Parlimen


Wan Junaidi Tuanku Jaafar diberi mandat untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan melibatkan transformasi Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2022.

MESYUARAT Transformasi Parlimen hari ini bersetuju memberi mandat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan mengenai semua urusan penyediaan melibatkan transformasi Parlimen. 

Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia dalam kenyataan media memaklumkan perkara itu melibatkan Akta Suruhanjaya Parlimen, pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta Kod Etika Ahli Parlimen.

“Semua ini harus diselesaikan sebelum sesi Parlimen akan datang. Parlimen Malaysia akan menjadikan perkara ini sebagai keutamaan dan sentiasa menyokong serta bekerjasama bagi menjayakan agenda ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Yang Dipertua Dewan Negara Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Parlimen hari ini susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Jun lepas. 

Mesyuarat itu turut dihadiri Wan Junaidi, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

“Dimaklumkan dalam mesyuarat tersebut, Jawatankuasa Transformasi Parlimen telah mengemas kini Rang Undang-Undang Suruhanjaya Parlimen yang baharu dan pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta telah dimajukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju pada dasarnya dengan cadangan dan perakuan Jawatankuasa Transformasi Parlimen supaya Parlimen Malaysia berfungsi mengikut dasar pengasingan kuasa seperti diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Ini termasuk cadangan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang kendiri serta pindaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. – Bernama, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen