Korea Selatan, AS, Jepun setuju tingkatkan kerjasama keselamatan 


Timbalan Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun Dong "mengutuk sekeras-kerasnya" tindakan Pyongyang yang disifatkan "melanggar undang-undang". – Gambar EPA, 8 Jun, 2022.

KOREA Selatan, Amerika Syarikat dan Jepun hari ini mencapai kata sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan bagi berdepan ancaman Korea Utara.

Kesepakatan itu dicapai susulan laporan rejim itu bersedia menjalankan ujian nuklear.

Ia adalah sesi mesyuarat tiga penjuru pertama dalam tempoh setengah tahun, rentetan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara, lapor Agensi Berita Yonhap.

Timbalan Menteri Luar Korea Selatan Cho Hyun Dong bersama rakan sejawatannya dari Amerika, Wendy Sherman dan Takeo Mori dari Jepun – dalam satu kenyataan bersama “mengutuk sekeras-kerasnya” tindakan Pyongyang yang disifatkan “melanggar undang-undang”.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa ketiga-tiga pihak kekal komited untuk meningkatkan kerjasama keselamatan tiga hala bagi menentang ancaman Korea Utara.

Mereka berharap pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan bertindak balas secara positif terhadap tawaran bantuan antarabangsa dalam memerangi Covid-19.

Ketiga-tiga pihak turut membincangkan cara untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai isu global, termasuk sokongan terhadap Ukraine, keselamatan ekonomi, dan mempromosi “Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan tiga hala akan datang bakal diadakan di Tokyo pada musim gugur. – Bernama, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen