Pelarian Jepun terlibat kes tipu bantuan Covid-19 ditahan di Indonesia


Pelarian Jepun Mitsuhiro Taniguchi, 47, ditahan di Indonesia selepas terlibat dalam kes penipuan dana yang berkaitan subsidi bantuan Covid-19. – Gambar EPA, 8 Jun, 2022.

POLIS Indonesia menahan seorang pelarian Jepun yang terlibat dalam kes penipuan dana kerajaan yang menawarkan subsidi bantuan Covid-19, kata pegawai hari ini.

Mitsuhiro Taniguchi, 47, ditahan di wilayah Lampung di selatan pulau Sumatera semalam dan diterbangkan ke ibu kota Jakarta, kata jurucakap polis negara Dedi Prasetyo kepada wartawan.

Warga Jepun itu dan beberapa rakan kongsinya dituduh mengemukakan permohonan palsu untuk menuntut 960 juta yen (AS$7.2 juta) dalam dana bantuan Covid-19, menurut laporan media Jepun.

Dia ditahan dalam operasi bersama oleh pegawai imigresen dan polis tempatan, kata Prasetyo tanpa memberikan butiran mengenai kes itu.

Tangkapan dibuat selepas kedutaan Jepun memaklumkan pihak berkuasa Indonesia tentang keberadaan seorang warga Jepun yang pasportnya sudah ditarik balik.

Polis Indonesia dalam satu kenyataan hari ini berkata Jepun telah menyiasat dakwaan penipuan subsidi untuk perniagaan kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tetapi mereka tidak mengesahkan jumlah terkumpul oleh skim dibuat oleh Taniguchi.

Jabatan Polis Metropolitan Tokyo meletakkan Taniguchi dalam senarai dikehendaki antarabangsa selepas menahan bekas isteri dan dua anak lelakinya pada 30 Mei kerana disyaki melakukan penipuan, lapor akhbar Jepun Asahi Shimbun.

Taniguchi akan dihantar pulang selaras dengan kedutaan, kata pegawai imigresen Lampung Is Edy Eko Putranto pada sidang media di mana suspek warga Jepun diarak di hadapan media.

Polis di Kedutaan Jepun Takayuki Miyagawa memberitahu sidang akhbar pelarian itu ditangkap kerana menipu kerajaan Jepun untuk subsidi berkaitan Covid-19.

Taniguchi dilaporkan memasuki Indonesia pada Oktober 2020 beberapa bulan selepas skim itu didedahkan oleh polis Jepun.

Dia tinggal di Jakarta dan sering melakukan perjalanan untuk berniaga di Lampung, tempat dia tinggal selama seminggu sebelum ditangkap.

Pelarian itu menggunakan visa tinggal terhad dan bekerja di negara itu sebagai pelabur asing membantu penduduk tempatan mengusahakan ternakan ikan dilaporkan untuk mengumpul wang membantu rakan kongsinya yang didakwa. – Bernama, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen