Kemboja, China rombak pangkalan tentera laut, AS bimbang


Menteri Pertahanan Kemboja Tea Banh (kanan) dan Duta Besar China Wang Wentian mengambil bahagian dalam upacara pecah tanah di pangkalan tentera laut Ream. Rombakan pengkalan itu telah menimbulkan kebimbangan Amerika Syarikat ia dibina untuk kegunaan eksklusif tentera laut China. – Gambar AFP, 8 Jun, 2022.

KEMBOJA dan China pada Rabu memulakan projek yang dibiayai Beijing untuk merombak pangkalan tentera laut, sekali gus mencetuskan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) ia untuk kegunaan tentera China.

Akhbar Washington Post minggu ini memetik pegawai Barat yang tidak dinamakan sebagai berkata kemudahan baharu di pangkalan Ream di Kemboja, terletak strategik di Teluk Thailand, sedang dibina untuk kegunaan “eksklusif” tentera laut China.

Kedua-dua negara menafikan dakwaan itu, dengan Phnom Penh berkata pembangunan pangkalan itu “bukan rahsia”.

Menteri pertahanan Kemboja Tea Banh dan Duta China Wang Wentian hadir pada Rabu untuk melihat kerja-kerja kemudahan itu termasuk bengkel penyelenggaraan bot, dua jeti, dok, laluan gelincir pasir untuk kapal yang lebih besar berlabuh.

Jentera pembinaan berat turut kelihatan di tapak itu.

“Ia tidak disasarkan kepada mana-mana pihak ketiga, dan akan kondusif kepada kerjasama praktikal yang lebih erat antara kedua-dua tentera, pemenuhan kewajipan antarabangsa yang lebih baik dan penyediaan barangan awam antarabangsa,” kata Wang.

Projek itu, yang dibayar dengan geran China, juga termasuk menaik taraf dan mengembangkan hospital serta sumbangan peralatan ketenteraan dan pembaikan lapan kapal perang Kemboja, kata Tea Banh.

“Terdapat dakwaan pangkalan Ream yang dimodenkan akan digunakan oleh tentera China secara eksklusif. Tidak,” kata menteri itu kepada ratusan orang termasuk diplomat asing pada majlis berkenaan.

“Jangan terlalu risau, pangkalan Ream sangat kecil… Ia tidak akan timbulkan ancaman kepada sesiapa, di mana-mana sahaja.”

Rombakan itu akan selesai dalam masa dua tahun, kata seorang lagi pegawai Kemboja. – AFP, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen