KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim mahu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengemukakan jalan penyelesaian terhadap isu orang tengah yang menyebabkan harga dan bekalan ikan serta produk perikanan tidak stabil.
Ahli Parlimen Port Dickson berkata penguasaan orang tengah dalam rantaian bekalan sektor perikanan memberi kesan mendalam kepada kehidupan golongan nelayan.
“Kerajaan menerusi Kementerian terlibat perlu menyatakan pendirian terkait perkara ini sekali gus mencari jalan untuk merungkai permasalahan yang berlaku dan menawarkan jalan penyelesaian.
“Usah biarkan sindiket orang tengah mendominasi bekalan sektor perikanan dan terus menekan golongan nelayan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai orang tengah, seperti laporan Utusan Malaysia.
Syed Abu Hussin dipetik berkata orang tengah mampu menyimpan stok hampir lima tan metrik pada satu-satu masa, melebihi keperluan harian rakyat Malaysia.
“Ada enam orang tengah ikan seluruh negara. Di pelantar pendaratan ikan, saya dapati orang tengah itu ialah pemborong-pemborong yang sedia ada, mereka sentiasa cuba menghalang agar tiada pemain baru atau pesaing masuk dalam pasaran tersebut,” katanya, seperti dipetik laporan itu.
Laporan itu tidak menamakan enam orang tengah berkenaan tetapi menyebut mereka memiliki bot besar jenis C2, kilang beku dan kilang proses serta menguasai sistem pemasaran yang mempunyai rangkaian di seluruh negara.
“Mereka ini menguasai kitaran ekosistem ikan negara. Daripada sumber di lautan, sehingga peringkat terakhir iaitu pemasaran kepada rakyat,” kata Syed Abu Hussin.
Beliau juga berkata nelayan yang membawa ikan dari laut tidak dapat menjual hasil mereka kecuali kepada orang tengah yang menawarkan harga rendah daripada pasaran. – 8 Jun, 2022.
Komen