PERDANA Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (Nasa) akan melancarkan tiga roket dari utara negara itu buat julung kalinya dalam tempoh 27 tahun.
Albanese dan ketua Agensi Angkasa Lepas Australia (ASA) Enrico Palermo pada Rabu berkata tiga roket suborbital Nasa akan berlepas dari Pusat Angkasa Arnhem di wilayah utara antara 26 Jun dan 12 Julai, lapor Xinhua.
Seramai 75 kakitangan NASA dijangka tiba di Australia untuk menyelia pelancaran roket, dan kajian itu akan digunakan bagi mengkaji heliofizik, astrofizik, dan sains planet.
Albanese berkata pelancaran itu akan membina warisan industri angkasa Australia.
“Kita dapat kenal pasti hubungan Australia dengan industri angkasa sejak 1950-an.
“Projek ini akan menghimpunkan industri global dan tempatan dalam memacu sektor angkasa lepas Australia ke era baharu,” katanya.
Agensi Angkasa Lepas Australia (ASA) ditubuhkan kerajaan terdahulu bagi mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan serta meningkatkan nilai industri ini kepada A$12 bilion (AS$8.6 bilion) menjelang 2030.– Bernama, 8 Jun, 2022.
Komen