BARISAN Nasional Selangor menamatkan perkhidmatan Isham Jalil sebagai ketua penerangannya berkuat kuasa serta merta dengan alasan jawatan berkenaan tidak mengikut perlembagaan parti.
Keputusan dibuat atas persetujuan pengerusi penyelaras BN Selangor Noh Omar, kata Setiausaha BN Selangor Mohamad Satim Diman dalam surat pemberhentian yang dilihat The Malaysian Insight.
“Keputusan ini dibuat melalui perbincangan bersama Pengerusi BN Malaysia (Ahmad Zahid Hamidi) dengan merujuk kepada Fasal 23 Perlembagaan BN di mana tidak termaktub dan tertera di dalam Perlembagaan bagi Pengerusi Jawatankuasa BN Negeri untuk melantik Ketua Penerangan,” tulisnya dalam surat itu.
Isham, yang juga bekas pegawai khas Najib Razak, dilantik sebagai ketua penerangan BN Selangor pada hujung Mei 2020.
Dalam reaksinya, Isham mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang tempoh perkhidmatan itu.
“Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Jelas Isham, beliau akan terus membantu BN Selangor “dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.”
Isham adalah ahli Umno Bahagian Sungai Buloh. – 8 Jun, 2022.
Komen