LARANGAN import ke atas minyak sawit dan sarung tangan getah Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat semata-mata atas dakwaan amalan buruh paksa yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak adil, kata Zuraida Kamaruddin.
Dakwaan itu juga berat sebelah, kata menteri perusahaan perladangan dan komoditi.
“Kementerian tidak berniat untuk mempertikai hak prerogatif CBP, namun dakwaan itu tidak adil dan berat sebelah.
“Sekatan kemasukan minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia serta sarung tangan getah hanya berdasarkan tuduhan buruh paksa yang dibuat oleh NGO dan kumpulan-kumpulan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraida mengulas kenyataan wakil CBP kepada media pada Khamis lalu, bahawa jabatan itu mempunyai bukti kukuh mengenai amalan buruh paksa dalam industri getah dan minyak sawit Malaysia.
Katanya, KPPK menolak sepenuhnya larangan import yang hanya berdasarkan kepada bukti pihak ketiga dalam siasatan CBP.
Walaupun kementerian tidak sepenuhnya bersetuju dengan tindakan CBP, namun agensi penguatkuasaan tersebut mempunyai hak prerogatif untuk mengambil tindakan berdasarkan apa yang pada ketika itu dianggap sebagai maklumat, tambahnya.
Zuraida seterusnya berkata pemain industri Malaysia terutama dalam sektor perladangan dan sarung getah yang berintensif buruh perlu mengambil kira sensitiviti CBP.
“Pemain industri perlu mencari pelan tindakan supaya tidak dikenakan Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) sekali lagi dengan tuduhan buruh paksa,” katanya.
Menurutnya lagi, hasil siasatan CBP telah menyebabkan produk daripada enam firma Malaysia masih dilarang daripada memasuki pasaran negara AS akibat WRO.
Sime Darby Plantation, Top Glove Corporation, Superman Corporation dan syarikat-syarikat di bawah kumpulan Smart Glove antara firma Malaysia yang dikenakan WRO oleh CBP atas dakwaan buruh paksa. – 8 Jun, 2022.
Komen