5 pelajar sekolah menengah maut ditembak di Mexico


Insiden tersebut berlaku hanya dua minggu selepas lapan wanita dan tiga lelaki terbunuh dalam serangan tembakan ke atas dua bar dan sebuah hotel di Celaya, Guanajuato. – Gambar EPA, 8 Jun, 2022.

LIMA pelajar sekolah menengah dan seorang dewasa maut dalam satu insiden tembakan rambang di Mexico, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa.

Menurut polis, kejadian di bandar Guanajuato pada Isnin malam itu meragut nyawa tiga pelajar lelaki dan dua perempuan berusia antara 16 dan 18 tahun, serta seorang wanita berumur 65 tahun di kawasan yang sama.

Insiden tersebut berlaku hanya dua minggu selepas lapan wanita dan tiga lelaki terbunuh dalam serangan tembakan ke atas dua bar dan sebuah hotel di Celaya, Guanajuato.

Guanajuato terletak di pusat perindustrian Mexico, yang menempatkan kilang penapisan dan saluran paip utama negara itu. Ia antara negeri paling ganas di Mexico akibat pertikaian antara kartel Santa Rosa de Lima dan Generasi Baru Jalisco.

Dua kumpulan itu saling bertikai untuk mengawal laluan pengedaran dadah dan bahan api curi.

Lebih 340,000 orang terbunuh di Mexico sejak Disember 2006 apabila kerajaan melancarkan operasi antidadah bersama tentera. – AFP, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen