Israel punca keganasan di Palestin berlarutan, kata laporan PBB


Psukan penyiasat PBB dalam laporannya berkata pendudukan Israel dan diskriminasi terhadap warga Palestin menjadi penyebab kepada keganasan yang tiada kesudahan. – Gambar EPA, 8 Jun, 2022.

PENDUDUKAN Israel dan diskriminasi terhadap warga Palestin menjadi penyebab kepada keganasan yang berpanjangan, kata pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

Pasukan itu dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB tahun lalu, bagi menyiasat semua punca konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak berdekad lalu.

“Pendudukan Isarel perlu ditamatkan, penting bagi menamatkan keganasan yang berpanjangan,” kata pasukan itu dalam laporannya.

Laporan 18 muka surat itu menilai siasatan-siasatan, laporan dan keputusan PBB berkenaan konflik di Palestin sebelum ini, dan jika syor bagi menanganinya telah dilaksanakan.

“Dapatan dalam laporan-laporan lalu jelas menyatakan konflik berpunca dari Israel,” kata ketua penyiasat Navi Pillay dalam kenyataan, menambah semua syor yang dikemukakan sebelum ini tidak dilaksanakan. 

Pasukan itu berkata Israel harus dipertanggungjawabkan kerana melanggar undang-undang antarabangsa. 

Tambahnya, tanpa pelaksanaan syor-syor bagi menangani konflik itu, Israel bebas tanpa sebarang hukuman dan terus menduduki Palestin.

Israel enggan bekerjasama dengan Suruhanjaya Siasatan (COI) yang ditubuhkan tahun lalu ekoran perang 11 hari antara tentera rejim zionis dan pejuang Hamas di Semenanung Gaza, yang menyebabkan 260 warga Palestin dan 13 warga Israel terbunuh.

Israel sebelum ini lantang mengkritik Pillay kerana perjuangannya yang menentang Israel. 

Kementerian Luar Israel pada Selasa menyelar laporan penyiasat PBB itu, menyifatkannya berat sebelah dan berbaur kebencian. – AFP, 8 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen