KAUNSELOR Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Derek Chollet akan mengunjungi Thailand, Singapura, dan Brunei bermula 7 hingga 14 Jun, melambangkan komitmen AS untuk memperkukuh kerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi bagi memulihkan demokrasi di Myanmar.
Semasa lawatan itu beliau akan meneliti perkembangan mengenai keputusan yang dicapai pada Sidang Kemuncak Khas AS-Asean di Washington DC pada Mei lepas.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Jurucakap Jabatan Negara memaklumkan ketika berada di Thailand, Chollet akan bertemu dengan pegawai kanan untuk membincangkan isu dua hala serta bertemu organisasi kemanusiaan antarabangsa dan pihak berkepentingan yang lain.
Di Singapura, Chollet akan menghadiri Dialog Shangri-La dan menyertai perbincangan mengenai konflik di Myanmar.
Di Brunei, pula beliau dijadual bertemu Menteri Luar II Erywan Yusof dan pegawai kanan lain, serta pemimpin masyarakat.
Sementara itu, Panglima Komando Indo-Pasifik AS, Laksamana John Aquilino turut mengadakan lawatan ke Thailand bermula hari ini hingga 9 Jun. – Bernama, 7 Jun, 2022.
Komen