APHR Asean gusar rancangan hukum mati ke atas 4 tahanan politik Myanmar


Media sebelum ini melaporkan rayuan bekas Ahli Parlimen terkemuka Ko Phyo Zeya Thaw terhadap hukuman mati telah ditolak pada minggu lepas. – Gambar EPA, 7 Jun, 2022.

AHLI Parlimen Hak Asasi Manusia (APHR) Asean menggesa Asean dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan bagi menyekat junta Myanmar daripada melaksanakan hukuman mati terhadap empat tahanan politik.

APHR dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawangnya semalam memaklumkan, Ahli Parlimen dari Asia Tenggara khuatir dengan pengumuman junta Myanmar untuk melaksanakan hukuman itu.

Keempat-empat mereka termasuk bekas Ahli Parlimen terkemuka, Ko Phyo Zeya Thaw, dan aktivis pro-demokrasi terkenal, Kyaw Min Yu aka Ko Jimmy, yang kedua-duanya disabitkan dengan tuduhan keganasan serta dijatuhi hukuman mati pada Jan 2022.

“Asean dan masyarakat antarabangsa perlu menggunakan apa jua cara untuk menghalang hukuman itu dilaksanakan. Jika dilaksanakan, ia pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan bermotifkan politik.

“Hukuman bunuh ini akan terus menghalang kemungkinan ke arah dialog politik yang mampan, seperti ditetapkan Konsensus Lima Perkara lebih setahun lalu, serta dipersetujui negara anggota Asean dan junta Min Aung Hlaing,” kata Pengerusi APHR yang juga Ahli Parlimen Malaysia, Charles Santiago.

APHR menyeru setiap negara anggota Asean serta rakan dialognya, mendesak junta membatalkan hukuman mati dan pembebasan tanpa syarat ke atas empat tahanan itu serta-merta.

Selain itu, APHR menyokong kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini yang mengingatkan tentera Myanmar bahawa hukuman mati adalah pelanggaran undang-undang secara terang-terangan terhadap hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan individu, seperti dalam Artikel 3 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Media sebelum ini melaporkan rayuan Phyo Zeya Thaw dan Yu terhadap hukuman mati mereka telah ditolak pada minggu lepas.

Sementara itu, dua lagi lelaki dilaporkan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh seorang wanita yang mereka percaya bekerja untuk Yangon.

Sejak rampasan kuasa tentera pada Februari tahun lalu, Myanmar menyaksikan lonjakan drastik jumlah individu dijatuhi hukuman mati dengan sekurang-kurangnya 86 orang termasuk kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, setakat ini.

Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (Burma), kira-kira 14.018 orang telah ditahan manakala 1,905 yang lain telah dibunuh junta sejak rampasan kuasa. – Bernama, 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen