Syria pintas peluru berpandu Israel


Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara terhadap jirannya, menyasarkan tentera kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang kumpulan militan Hizbullah. – Gambar AFP, 7 Jun, 2022.

PERTAHANAN udara Syria berjaya memintas peluru berpandu Israel di selatan Damsyik pada Isnin, tanpa kemalangan jiwa dilaporkan, kata sumber tentera kepada agensi berita rasmi Syria SANA.

“Rejim Israel melakukan serangan udara dari Golan Syria yang ditawan, menyasarkan selatan Damsyik,” dengan pertahanan udara Syria berjaya memintas kebanyakan peluru berpandunya, kata sumber itu seperti dipetik SANA.

“Kerugian hanya melibatkan kerosakan material.”

Seorang wartawan AFP di Damsyik mendakwa terdengar bunyi yang kuat pada waktu petang.

Serangan udara itu menyasarkan tapak di kawasan pedalaman selatan Damsyik di mana kumpulan Hizbullah Lubnan dan unit pertahanan udara Syria aktif, kata pemantau perang Syrian Observatory for Human Rights.

Bulan lepas, peluru berpandu Israel membunuh sekurang-kurangnya tiga pegawai Syria berhampiran Damsyik, menurut pemerhati itu.

Serangan Israel telah menyasarkan kedudukan Iran dan depot senjata berhampiran Damsyik, kata pemantau tersebut ketika itu.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara terhadap jirannya, menyasarkan tentera kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang kumpulan militan Hizbullah.

Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan individu, ia mengakui melakukan ratusan serangan.

Konflik di Syria telah membunuh hampir setengah juta orang dan memaksa kira-kira separuh daripada penduduk meninggalkan rumah mereka. – AFP, 7 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen