PERDANA Menteri Britain Boris Johnson semalam terselamat daripada undi tidak percaya dikemukakan ahli Parlimen partinya sendiri, tetapi kedudukannya pada masa ini lemah susulan sejumlah besar daripadanya enggan menyokongnya semula.
Tokoh penting langkah Brexit itu menerima keputusan 211-148 yang dianggap “keputusan yang meyakinkan dan menentukan”.
“Sebagai kerajaan kita boleh bergerak ke depan dan fokus kepada perkara yang benar-benar penting,” katanya kepada media.
Undi itu – hanya dua tahun selepas beliau menang besar dalam pilihan raya umum – dibawa selepas beberapa skandal membabitkannya muncul.
Antaranya ialah kontroversi “Partygate” berkaitan beberapa acada diadakan di Downing Street yang melanggar peraturan perintah berkurung Covid-19, mencetuskan kemarahan orang awam dan menyaksikan beliau perdana menteri UK pertama melanggar undang-undang.
Johnson, 57, memerlukan sokongan 180 ahli Parlimen untuk terselamat dalam undi itu – majoriti daripada 359 ahli Konservatif di Parlimen.
Spekulasi kini ialah sama ada Johnson dapat bertahan untuk hilang keyakinan ahli Parlimen partinya sendiri – dan adakah menteri kanan akan meletak jawatan.
Dalam undi Tory sebelum ini, Margaret Thatcher dan Theresa May kedua-duanya akhirnya meletak jawatan walaupun menang nipis undi mereka, kerana beranggapan jawatan perdana menteri yang disandang sudah musnah.
“Kerajaan Konservatif sekarang percaya melanggar undang-undang bukan halangan untuk menggubal undang-undang,” kata ketua pembangkang parti Buruh Keir Starmer.
“Parti Konservatif sekarang percaya rakyat Britain tidak berhak untuk mendapatkan ahli politik yang jujur.”
Johnson enggan meletak jawatan susulan kontroversi “Partygate”.
Beliau sebelum ini mempertahankan rekod kejayaannya dalam melaksanakan Brexit, melawan pandemik Covid-19 dan sokongan Britain kepada Ukraine menentang Russia.
“Ini bukan masanya untuk suka-suka mewujudkan drama politik domestik,” katanya kepada ahli Parlimen Tory, menurut sumber daripada parti. – AFP, 7 Jun, 2022.
Komen