MENTERI kewangan Singapura dilantik sebagai timbalan perdana menteri (TPM), umum kerajaan pada Isnin, petunjuk paling jelas yang beliau berkemungkinan menjadi pemimpin negara akan datang.
Lawrence Wong akan memegang jawatan baharunya berkuat kuasa 13 Jun, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan.
Pemimpin berusia 49 tahun itu sebelum ini diberikan peranan penting dalam parti pemerintah negara pada April, sebagai isyarat awal bagaimana proses penggantian akan berlaku.
Lee, 70, adalah anak kepada mendiang perdana menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew, dan perubahan kepimpinan akan datang dilihat sebagai sensitif kerana ia menandakan keluarga pengasas menyerahkan kuasa kepada generasi baharu pemimpin parti pemerintah.
Hab kewangan dengan 5.5 juta penduduk itu diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak 1959, dan penggantian kepimpinan biasanya merupakan urusan yang diatur dengan teliti.
Proses itu menjadi kucar-kacir tahun lalu, apabila pemimpin sepatutnya dan menteri kewangan ketika itu, Heng Swee Keat, enggan menerimanya selepas parti itu melihat sokongannya berkurangan dalam pilihan raya.
Ia membuka jalan bagi Wong.
“Encik Lawrence Wong akan dinaikkan pangkat sebagai timbalan perdana menteri. Beliau akan menjadi pemangku perdana menteri jika perdana menteri tiada,” kata Lee dalam satu kenyataan.
Wong akan meneruskan tugas sebagai menteri kewangan, tambah Lee, yang turut mengumumkan perubahan Kabinet dan pelantikan politik lain.
“Kepimpinan generasi akan datang sedang terbentuk,” kata Lee dalam catatan Facebook berasingan.
“Saya meminta semua orang memberikan sokongan penuh kepada peralihan penting ini, untuk membawa Singapura keluar dengan selamat daripada wabak dan menuju masa depan lebih cerah.”
Beberapa menteri disebut-sebut sebagai pengganti Lee tetapi Wong—yang mengambil alih jawatan menteri kewangan pada Mei tahun lalu, dan juga memainkan peranan penting dalam menyelaraskan perjuangan Singapura menentang Covid-19—paling menonjol.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing sebelum ini dilihat sebagai pesaing lain untuk menggantikan Lee. – AFP, 6 Jun, 2022.
Komen