Kerajaan hati-hati perkembangan global khususnya isu bekalan makanan, kata PM


Kerajan rangka tindakan bagi menangani krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan konflik Russia-Ukraine, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

KERAJAAN mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini khususnya isu bekalan makanan dan kenaikan harga bahan makanan yang menjejaskan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata bagi menangani krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan konflik Russia-Ukraine, kerajaan merangka tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan.

Ismail Sabri berkata krisis berkenaan mengakibatkan Malaysia, rantau Asia serta rantau lain di dunia mendapat bahananya, dengan rantaian bekalan global terjejas akibat fenomena itu menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30%.

Menurutnya, menerusi tindakan jangka pendek, kerajaan mengumumkan untuk membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta merta dan menyekat pengeksportan ayam ke luar negara.

“(Selain itu) memperkenalkan bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini, mewujudkan Tabung Agromakanan dengan dana berjumlah RM500 juta melalui pemberian pinjaman mudah kepada pemain-pemain industri agromakanan dan mewujudkan stok penimbal untuk ayam, daging dan ikan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi,” katanya.

Perdana menteri berkata demikian ketika merafak sembah ucapan tahniah sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang berlangsung di Istana Negara, hari ini. – Bernama, 6 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen