PUTRAJAYA perlu memastikan semua majikan mematuhi dasar gaji minimum RM1,500 yang baharu supaya pekerja diberikan pampasan sewajarnya, kata M Kula Segaran.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu mengulas berkenaan masih ramai majikan tidak mematuhi dasar itu berikutan kekurangan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
“Ramai pekerja pada masa ini dinafikan hak kepada gaji minimum baharu. Masih ada majikan tidak mematuhi peraturan itu.
“Kerajaan perlu berusaha lebih keras dalam menguatkuasakan gaji minimum baharu.
“Ia perlu ambil tindakan jika majikan mengguna pakai ‘pematuhan kontrak’ untuk tidak menaikkan gaji itu,” katanya.
Bekas menteri sumber manusia itu berkata banyak pekerja masih dibayar gaji minimum lama iaitu RM1,200, dan mempersoalkan adakah pengecualian diberikan.
“Bagi dasar semasa ini, adakah majikan perlu patuh membayar gaji minimum RM1,500 atau ada sebarang pengecualian?
“Apakah kriterianya jika pengecualian diberikan dan berapa ramai majikan diberikan pengecualian itu?
“Adakah senarai nama akan didedahkan kepada umum untuk mengetahui berapa banyak majikan diberikan pengecualian?,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan apa tindakan Kementerian Sumber Manusia berhubung isu itu memandangan gaji baru RM1,500 berkuatkuasa sejak 1 Mei.
Katanya, walaupun kerajaan memberikan subsidi untuk kumpulan berpendapatan rendah, ia tidak boleh diganti dengan gaji minimum yang wajar.
Kula berkata gaji minimum itu juga masih tidak cukup untuk kehidupan di bandar.
Kerajaan patut mengkaji Model Gaji Progresif Singapura di mana ia memupuk dorongan untuk menaikkan gaji pekerja menerusi peningkatan kemahiran dan produktiviti, katanya.
Menurut data Bank Negara pada 2018, paras pendapatan diperlukan untuk isi rumah menampung standard kehidupan minimum di Kuala Lumpur bagi dewasa bujang ialah dengan gaji RM2,700.
Bagi pasangan tanpa anak, sebanyak RM4,500 dan pasangan dengan dua anak ialah RM6,500. – 6 Jun, 2022.
Komen