SERAMAI 59 pendatang tanpa izin Rohingya ditemui di sebuah pulau di Thailand.
Kesemua mereka mendakwa ditinggalkan ketika dalam perjalanan ke Malaysia, kata seorang pegawai kanan polis semalam.
Kumpulan itu termasuk lima kanak-kanak ditemui di Pulau Koh Dong di wilayah selatan Satun pada Sabtu, kata Leftenan Jeneral Surachet Hakpan.
Setiap tahun beribu-ribu penduduk Rohingya yang majoritinya beragama Islam yang dianiaya teruk di Myanmar mempertaruhkan nyawa mereka dalam perjalanan berbulan-bulan untuk tiba ke Malaysia melalui lautan Thailand.
Polis berkata mereka didakwa kerana masuk secara haram dan boleh berdepan pengusiran ke Myanmar berikutan kes mahkamah.
“Kami menyediakan bantuan kemanusian dan akan menyiasat sama ada mereka mangsa pemerdagangan manusia atau jika mereka masuk secara haram,” kata Surachet.
Kumpulan itu ditemui dalam keadaan kebuluran dan berkemungkinan tidak mempunyai bekalan makanan selama tiga hingga lima hari, kata satu kenyataan polis.
Anggota kumpulan memberitahu pegawai bot mereka adalah antara tiga kapal yang membawa 178 orang yang meninggalkan Myanmar dan Bangladesh serta membayar seorang ejen kira-kira RM5,000 untuk perjalanan itu.
Dua bot pertama yang membawa 119 orang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia, menurut kenyataan polis Thailand.
Krew bot itu kemudian memutuskan untuk meninggalkan mereka di atas kapal di Pulau Koh Dong dan memberitahu mereka sudah sampai ke Malaysia, kata kumpulan itu kepada pegawai.
Insiden itu berlaku selepas mayat 14 orang Rohingya termasuk kanak-kanak ditemui dihanyutkan di pantai bulan lepas selepas mereka cuba melarikan diri dari Myanmar.
Beratus-ratus ribu orang Rohingya melarikan diri daripada tindakan keras tentera di negara itu pada 2017 yang membawa bersama mereka kisah mengerikan pembunuhan, rogol dan pembakaran.
Mereka yang masih berada di Myanmar dilihat sebagai penceroboh dari Bangladesh dan sebahagian besarnya dinafikan kewargangearaan, banyak hak dan akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Malaysia yang majoritinya beragama Islam adalah destinasi utama bagi Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar atau kem pelarian di Bangladesh.
Pada 2019 seorang kapten bot Thailand didakwa menyeludup 65 orang Rohingya dari Myanmar selepas kapal mereka karam di sebuah pulau di luar pantai wilayah Satun.
Kawasan yang sama adalah hab laluan pemerdagangan berjuta-juta dolar yang terungkai pada 2015 selepas penemuan kubur besar pendatang Rohingya dan Bangladesh di sepanjang sempadan Malaysia. – AFP, 6 Jun, 2022.
Komen