Rakyat Malaysia banyak bazir makanan, kata laporan


Menurut data SWCorp sebanyak 17,007 tan sisa makanan sehari dihasilkan pada 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

RAKYAT Malaysia membuang 4,081 tan makanan yang boleh dimakan setiap hari tahun lepas, menurut laporan berita.

Menurut laporan The Star ini adalah daripada 38,219 tan sisa pepejal yang dijana di Malaysia setiap hari pada 2021.

Memetik data daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) laporan itu menyatakan rakyat Malaysia menghasilkan 17,007 tan sisa makanan sehari pada 2021.

“76% tidak boleh dimakan seperti tulang dan kulit buah manakala baki 24% masih boleh dimakan seperti sisa daging dan sayur-sayuran,” kata SWCorp.

Laporan itu berkata jumlah makanan yang dibuang tahun lepas hanya kurang sedikit daripada 17,041 tan sehari yang dicatatkan pada 2020.

SWCorp berharap orang ramai akan merancang pembelian mereka dengan lebih baik dengan harga makanan yang lebih tinggi dan membuang makanan yang kurang boleh dimakan tahun ini.

“Simpan dan susun makanan mengikut konsep ‘masuk dahulu keluar dahulu’ dengan melabelkan bahan makanan dengan tarikh anda menyimpannya dan meletakkan yang lebih awal di hadapan atau di atas supaya anda menggunakannya dahulu,” kata SWCorp yang kerap melaksanakan program kesedaran melalui kempen “Nilai Makanan Tanpa Pembaziran”.

Mereka juga menasihatkan pengguna supaya menjauhkan buah-buahan seperti pisang, epal dan pir daripada hasil lain kerana ia membebaskan gas etilena semasa ia masak menjadikan produk lain yang berdekatan masak dan berpotensi rosak lebih cepat.

Mengenai pengendalian sisa makanan SWCorp berkata orang ramai boleh menggunakan semula makanan tersebut menjadi makanan baharu, berkongsi atau mendermanya atau mencipta kompos. – 6 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen