ISMAIL Sabri Yaakob mungkin hendak mengingatkan pemimpin Umno mengenai kuasa perdana menteri untuk membubarkan Parlimen tetapi sengaja menujukan kenyataannya kepada DAP, kata Anthony Loke.
Setiausaha Agung DAP hairan kenapa Ismail Sabri menyalahkan DAP kononnya mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.
“Yang tekan PM untuk bubarkan Parlimen ialah pemimpin Umno, yang disalahkan pula ialah DAP!
“Ini pun salah DAP?” tanyanya dalam satu komen di Facebook.
Semalam, Ismail Sabri mendakwa DAP mendesaknya untuk “mendahului Yang di-Pertuan Agong” dan mengumumkan tarikh pilihan raya.
“Saya tak boleh katakan tarikh tertentu, kalau saya sebut tarikh, saya dah mendahului Yang di-Pertuan Agong, salah dari segi perlembagaan. DAP punya perangai mungkin dia tak hormat Yang di-Pertuan Agong tapi saya hormat Yang di-Pertuan Agong dan saya patuh pada perlembagaan,” katanya.
Loke sebelum itu menyelar Ismail Sabri kerana “tidak konsisten” mengenai PRU15, merujuk dua kenyataannya dalam masa hanya beberapa hari.
Menurut Loke, beliau tidak pernah mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Yang saya kritik perdana menteri ialah kerana beliau memberikan kenyataan dan mesej yang tidak konsisten. Saya tak pernah kata bahawa perdana menteri mesti sebut bila tarikh pembubaran,” katanya.
Dalam wawancara dengan akhbar Jepun baru-baru ini, Ismail Sabri berkata PRU15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat kerana negara sedang berdepan beberapa isu antaranya kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi yang tinggi.
Bagaimanapun dalam ucapan di Konvensyen Barisan Nasional minggu lepas Ismail Sabri berkata beliau tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.
“Saya rasa kenyataan perdana menteri hari ini sebenarnya dituju kepada pemimpin Umno yang tekan dia untuk bubar Parlimen. Cuma dia tak boleh sebut orang Umno tak hormat Agong jadi DAP menjadi mangsa kepada pertelingkahan dalaman Umno,” tambah Loke.
Mandat Parlimen sekarang berjalan sehingga pertengahan Julai 2023.
Bagaimanapun Umno sejak beberapa bulan lalu mendesak agar pilihan raya umum diadakan segera untuk mengambil momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor. – 6 Jun, 2022.
Komen