LIMA individu ditembak mati sementara berpuluh-puluh yang lain cedera dalam dua insiden tembakan rambang di Amerika Syarikat (AS).
Insiden itu – Sabtu malam di Philadelphia dan awal pagi Ahad di Chattanooga, Tennessee – menambah tekanan kepada negara yang berdepan epidemik keganasan senjata yang setakat ini meragut nyawa ramai individu tahun ini saja.
Senator di AS kini di bawah tekanan untuk merangka dan mengambil langkah asas bagi membantu mengurangkan insiden seumpama itu.
Di Philadelphia, dua lelaki dan seorang wanita maut apabila beberapa individu melepaskan tembakan di khalayak ramai di kawasan kelab malam popular di South Street.
Pesuruhjaya Polis Philadelphia Danielle Outlaw berkata mangsa bergaduh dengan seorang lagi lelaki, mungkin punca tembakan itu.
Dua lagi mangsa adalah mangsa keadaan, katanya kepada media.
Keganasan di Chattanooga menyebabkan 14 terkena tembakan termasuk dua terbunuh, sementara seorang lagi maut dan dua lagi cedera selepas dilanggar kenderaan yang cuba melarikan diri dari tempat kejaidan, kata Ketua Polis Celeste Murphy.
Insiden sebelum Subuh itu berlaku berhampiran kawasan kelab malam di bandar yang mempunyai populasi 180,000 orang itu.
Setakat semalam, tiada tangkapan dibuat dalam kedua-dua insiden, lapor media. – AFP, 6 Jun, 2022.
Komen