UK hantar peluru berpandu jarak jauh ke Ukraine


AS akan memberi Kyiv sistem roket artileri mobiliti tingginya yang boleh melancarkan pelbagai peluru berpandu tepat secara serentak, berbanding sistem sedia ada dimiliki Ukraine. – Gambar EPA, 6 Jun, 2022.

BRITAIN akan menyusuli Amerika Syarikat (AS) dan menghantar sistem peluru berpandu jarak jauh ke Ukraine, melanggar amaran Presiden Russia Vladimir Putin supaya tidak membekalkan Kyiv dengan senjata canggih.

Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) berkata London menyelaras bersama Washington berhubung pemberian sistem roket pelbagai pelancaran, dikenali sebagai MLRS, bagi membantu pertahanan Ukraine daripada pencerobohan Russia.

Katanya, pelancar M270 mampu menyerang sasaran sejauh hingga 80km dengan roket berpandu tepat, bakal memberikan peningkatan ketara dalam keupayaan tentera Ukraine.

AS minggu lalu mengumumkan akan memberi Kyiv sistem roket artileri mobiliti tingginya, dikenali sebagai HIMARS, yang boleh melancarkan pelbagai peluru berpandu tepat secara serentak, berbanding sistem sedia ada dimiliki Ukraine.

Namun, Presiden AS Joe Biden menolak untuk membekalkannya dengan sistem yang boleh sampai ke Russia, walaupun Kyiv menuntutnya berulang kali.

Langkah AS itu mendorong Putin memberi amaran Moscow akan menyerang sasaran baru yang tidak ditentukan jika Barat membekalkan peluru berpandu ke Ukraine dan menjelaskan penghantaran senjata baharu ke Kyiv bertujuan memanjangkan konflik.

Setiausaha Pertahanan Ben Wallace ketika mendedahkan sumbangan terbaru UK dalam satu kenyataan, menegaskan sekutu Barat Ukraine perlu terus menghantar senjata bagi membolehkan Kyiv menang peperangan melawan serangan tentera Russia.

Katanya, tentera Ukraine akan dilatih dengan kaedah penggunaan pelancar di UK supaya mereka boleh memaksimumkan keberkesanan sistem. – AFP, 6 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen