Pendaki gesa henti musnahkan hutan komuniti Shah Alam


Elill Easwaran

Satu petisyen menghentikan penebangan hutan di SACF sudah dimulakan dengan lebih 2,000 tandatangan diperoleh setakat ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Jun, 2022.

PENDAKI menggesa pemaju dan pihak berkuasa berhenti melakukan penebangan hutan hanya kerana pembangunan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight hutan semakin berkurangan di negara ini, dan keadaan itu adalah petanda buruk untuk ekosistem.

Luqman Hafiz, 26, berkata walaupun pembangunan adalah baik kerana ia menyediakan peluang pekerjaan, membolehkan orang ramai membeli hartanah atau memberikan jalan raya yang baharu, ia bagaimanapun tidak sepatutnya dilakukan sehingga memusnahkan hutan.

“Pemaju patut mencari tanah kosong, bukannya hutan untuk membina hartanah atau jalan baharu,” katanya.

Katanya, jika penebangan hutan diteruskan, pada masa depan tidak mustahil Malaysia tidak akan mempunyai hutan langsung.

“Malaysia negara yang sangat unik dengan banyak flora dan fauna. Kemusnahan hutan akan menyebabkan spesies ini pupus.

“Contohnya di Selangor, hanya Shah Alam menjadi lokasi mendaki. Oleh itu, mereka patut memelihara kawasan ini,” katanya yang sering mendaki di Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) pada hujung minggu.

SACF terletak di tanah milik kerajaan negeri Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Cadangan bagi pembinaan jalan merentasi hutan itu untuk menghubungkan Setia Alam ke Seksyen U10 berada dalam Draf Cadangan Tempatan Shah Alam 2035.

Satu petisyen menghentikan penebangan hutan oleh PKNS sudah dimulakan dengan lebih 2,000 tandatangan diperoleh setakat ini.

Seorang lagi pendaki, , Johnsen Khoo, 31, berkata beliau turut menandatangani petisyen itu dan berharap suara mereka akan didengar.

“Saya tidak pasti bagaimana tandatangan petisyen ini berfungsi tetapi pada masa ini itu saja pilihan yang ada untuk selamatkan SACF.

“Saya harap pihak berkuasa melihat masalah ini dari sudut pandangan kami bagi menyelamatkan hutan itu,” katanya,

Khoo berkata memusnahkan SACF akan menyebabkan orang ramai tidak dapat menikmati alam sekitar.

September lalu exco Selangor Hee Loy Sian berkata pembangunan projek berhampiran SACF dilakukan di luar hutan simpan kekal itu.

Katanya, 9,642 hektar diwartakan sebagai hutan simpan kekal pada 1909 tetapi ia dipinda beberapa kali sejak 1976 bagi membolehkan pembangunan dilakukan.

Pada masa ini, rizab hutan simpan Bukit Cherakah yang masih ada ialah 1,298.86 hektar dan ia diuruskan Jabatan Perhutanan Selangor sebagai hutan terlindung. – 6 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen