59 Rohingya termasuk 5 kanak-kanak dijumpai di Pulau Satun


Etnik Rohingya terpaksa melarikan diri dari Rakhine berikutan kekejaman tentera Myanmar. – Gambar EPA, 5 Jun, 2022.

KIRA-KIRA 59 pendatang tanpa izin Rohingya termasuk lima kanak-kanak yang kelaparan dan lemah ditemui di sebuah pulau di selatan wilayah Satun di Thailand, berhampiran sempadan Malaysia semalam, kata pegawai.

Gabenor Satun, Ekkarat Leesen berkata, pegawai penguatkuasa menemui 31 lelaki, 23 wanita dan lima kanak-kanak yang kelaparan di pulau Koh Dong, sebahagian daripada Taman Laut Negara Tarutao.

“Mereka ditinggalkan di pulau itu tanpa makanan dan minuman. Mereka kelihatan sangat lemah kerana kelaparan dan dehidrasi,” katanya.

Ekkarat berkata, siasatan awal mendapati mereka sebahagian daripada kumpulan 120 Rohingya yang meninggalkan Myanmar kira-kira dua bulan lalu sebelum mendarat di pulau itu kira-kira seminggu lalu.

“Kami dimaklumkan mereka (Rohingya) membayar RM5,000 (atau dalam baht) kepada sindiket untuk bekerja di Malaysia… ada di antara mereka didakwa meninggalkan pulau itu (Koh Dong) dan memasuki Malaysia,” katanya.

Sementara itu, timbalan ketua polis dan pengarah pusat perlindungan kanak-kanak, wanita, keluarga, antipemerdagangan manusia dan sektor perikanan Roy Ingkapairote berkata, siasatan sedang dijalankan.

“Unit khas ditubuhkan untuk menyiasat penyeludupan Rohingya tanpa dokumen,” katanya.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa menyediakan makanan dan minuman kepada Rohingya di pulau itu.

Sehingga kini, semua Rohingya tanpa dokumen menjalani saringan Covid-19. – Bernama, 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen