MUHYIDDIN Yassin menafikan dakwaan beliau mendapat sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.
Ahli Parlimen Pagoh itu dalam satu kenyataan berkata beliau tidak pernah memberitahu sesiapa mahupun mengesahkan mana-mana pihak, beliau mendapat sokongan penuh daripada ahli Parlimen untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan daripada Ismail Sabri Yaakob.
“Beberapa hari lalu timbul tuduhan saya memberitahu pemimpin sebuah parti politik yang saya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai perdana menteri.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa yang saya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Tuduhan tersebut adalah tidak benar, kata Muhyiddin.
Minggu lalu, Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya bagi menjadi perdana menteri semula.
Presiden Parti Warisan itu berkata Muhyiddin memberitahunya yang beliau mendapat sokongan 119 daripada 222 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
Shafie menambah, Muhyiddin berkata lagi beliau sudah membincangkan perkara itu dengan presiden PKR Anwar Ibrahim yang bersetuju untuk menyokongnya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin mengakui ada bertemu beberapa pemimpin parti politik selain BN tetapi hanya membincangkan mengenai persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata pakatan pilihan raya yang dicadangkan mesti berasaskan agenda bersama untuk memastikan Malaysia tidak kembali kepada pemerintahan “kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN”.
“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Jelasnya, perkara yang dibincangkan bersama pemimpin pembangkang itu adalah cara terbaik untuk menentang Barisan Nasional.
“Perbincangan hanya mengenai cara untuk mencari persefahaman bersama bagaimana untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya umum.
“Rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.
“Ini kerana kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata-mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah. BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah.
Muhyiddin adalah perdana menteri dari Mac 2020 hingga Ogos 2021 tetapi meletak jawatan selepas kehilangan majoriti berikutan Ahli Parlimen Umno yang sehaluan dengan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak menarik balik sokongan. – 5 Jun, 2022.
Komen