SEBUAH gunung berapi di timur Filipina memuntahkan awan gelap besar hari ini, mendorong pemindahan dari bandar yang dilitupi abu.
Pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlaku letusan berikutnya.
Letupan dari gunung berapi Bulusan di wilayah luar bandar Sorsogon berlangsung kira-kira 17 minit, menyebabkan kepulan abu setinggi sekurang-kurangnya 1 kilometer, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
“Terdapat letusan freatik gunung berapi Bulusan, bermakna letupan itu disebabkan oleh air mendidih di bawah kawah,” kata ketua institut Renato Solidum kepada radio tempatan DZBB.
Institut itu berkata, abu menjejaskan dua bandar di Sorsogon, kira-kira 500km ke selatan ibu negara Manila, tetapi tiada laporan segera mengenai kecederaan.
Di bandar Juban, dua kampung mengalami ‘sifar pandangan’ akibat abu tebal dan sebuah trak bomba dikerahkan untuk membersihkan kawasan itu, kata kakitangan pejabat bencana Dennis Despabiladeras.
“Pemindahan sedang dijalankan di sana, tetapi keutamaan kami warga emas dan penghidap asma,” katanya kepada AFP.
Pihak berkuasa lapangan terbang Manila berkata, tiada penerbangan terjejas akibat letusan itu setakat ini, walaupun juruterbang diberi amaran jika berada berdekatan kawasan itu.
Pihak berkuasa mengingatkan penduduk kemasukan ke dalam radius 4km di sekitar gunung berapi dilarang dan menasihatkan mereka yang tinggal berhampiran supaya berhati-hati ‘kerana peningkatan kemungkinan letusan freatik secara tiba-tiba dan berbahaya’.
Penduduk berhampiran lembah dan sungai turut diarah berwaspada terhadap aliran lumpur dan anak sungai sekiranya hujan lebat.
Gunung berapi Bulusan aktif sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan berpuluh letusan serupa direkod pada 2016 dan 2017.
Filipina terletak di ‘Lingkaran Api’ Pasifik yang aktif secara seismik dan mempunyai lebih 20 gunung berapi aktif. – AFP, 5 Jun, 2022.
Komen