ISU buruh paksa mungkin hanya satu alasan digunakan Amerika Syarikat untuk menyekat import produk Malaysia, kata P Ramasamy hari ini.
Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata sekatan AS ke atas produk dari Malaysia mungkin berkaitan dengan dua perkara lain.
“Pertama adalah berkaitan dengan keperluan untuk melindungi industri domestik AS daripada persaingan tidak sihat dan perkara kedua adalah alamiah geopolitik global.
“Hakikatnya, jika AS benar-benar mahu tangani buruh paksa, hampir semua produk dari Malaysia akan disekat.
“AS hanya menyerang produk Malaysia yang bersaing dengan produk dikeluarkan di AS,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.
Tambahnya, persaingan tidak adil daripada minyak sawit kepada minyak kacang soya dan lain-lain boleh menjadi sebab AS menggunakan isu buruk paksa dalam melarang import produk minyak sawit dari Malaysia.
“Kerana itu, AS memberikan alasan buruh paksa dalam cubaan tidak langsung untuk melindungi industri domestiknya daripada persaingan tidak adil daripada produk import dari Malaysia dan negara pengeluar berkos rendah yang lain.
“Tidak perlu dijelaskan lagi yang AS memang cenderung menggunakan perdagangan sebagai senjata geopolitik.” – 5 Jun, 2022.
Komen