Biden dilapor tangguh pelan lawat Arab Saudi, Israel


PRESIDEN AS Joe Biden menangguhkan rancangan lawatan ke Israel dan Arab Saudi, lapor media AS semalam.

Biden dilaporkan untuk meneruskan rancangan melawat Saudi ketika lawatan ke luar negaranya pada akhir Jun. Tetapi menurut CNN dan NBC, beliau menangguhkan lawatan itu ke Julai.

White House enggan mengulas tentang kemungkinan penangguhan itu.

Pada Jumaat, Biden mengesahkan beliau sedang mempertimbangkan untuk melawat Arab Saudi, kenyataan yang bertentangan dengan pendiriannya terdahulu apabila beliau menyifatkan negara itu sebagai negara pariah.

Keputusan itu dilaporkan dibuat selepas Arab Saudi memenuhi dua permintaan Biden dengan bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak – yang boleh membantu mengurangkan inflasi AS yang melonjak- dan membantu melanjutkan gencatan senjata di Yaman.

CNN berkata Biden akan bertemu pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman yang dituduh perisikan AS mengarahkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.

Lawatan itu dilaporkan akan berlaku sekitar lawatan Biden ke Sidang Kemuncak Nato di Sepanyol dan Kemuncak Kumpulan Tujuh di Jerman pada bulan ini.

Beliau juga dijangka melawat Israel, yang seperti di Arab Saudi, beliau dijangka berdepan tekanan berkaitan hubungan diplomatik AS dengan Iran, seteru kedua-dua negara itu.

Biden yang mempromosi dirinya sebagai juara demokrasi menentang autokratik memutuskan untuk menilai semula hubungan dengan Riyadh, menekankan kepentingan hak asasi manusia dalam dasar diplomatiknya.

Tetapi lonjakan harga minyak, disebabkan gangguan bekalan kerana perang Rusia-Ukraine, mencetuskan kemarahan rakyat Amerika dan menyebabkan populariti Biden jatuh merudum.

Pentadbiran Biden mahu memujuk Arab Saudi untuk meningkatkan pengeluaran minyak dengan harapan ia akan membantu masalah kekurangan bekalan dan menurunkan harga minyak. – AFP, 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen