POLIS India pada Rabu berkata mereka sedang menyiasat kematian penyanyi terkenal Bollywood Krishnakumar Kunnath, lebih dikenali sebagai KK, yang meninggal dunia pada usia 53 tahun selepas mengadakan konsert.
Penyanyi itu meninggal dunia tidak lama selepas membuat persembahan di festival kolej di Kolkata pada malam Selasa, mencetuskan ratapan peminatnya di seluruh dunia.
Beliau dikejarkan ke hospital dari hotelnya sekitar jam 10.30 malam, di mana doktor mengisytiharkan kematiannya.
Aroop Biswas, menteri kerajaan di Barat Bengal berkata kematian KK “dipercayai kerana serangan jantung”.
Tetapi polis berkata mereka sedang menyiasat sama ada kematiannya “tidak semulajadi”, dengan laporan media menyebut yang terdapat kecederaan di muka dan kepalanya.
Bedah siasat akan dijalankan hari ini.
“Kami juga sudah bercakap dengan pihak hotel dan meneliti rakaman CCTV untuk memahami kejadian sebelum beliau dibawa ke hospital,” kata pegawai polis Sanjoy Mukherjee.
Industri filem India kehilangan ramai bintangnya sejak beberapa tahun lepas, termasuk penyanyi terkenal Lata Mangeshkar pada Februari lalu dan pelakon veteran Dilip Kumar pada 2021.
Setahun sebelum itu, India juga kehilangan penyanyi kesayangan ramai S.P. Balasubrahmanyam serta pelakon Irrfan Khan, Rishi Kapoor dan Sushant Singh Rajput.
Pada Ahad, Sidhu Moose Wala, penyanyi rap yang terkenal di negara itu dan diaspora India di Britain dan Kanada, mati di tembak di utara Punjab. Polis percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang. – AFP, 5 Jun, 2022.
Komen