China sekat penggenangan Tiananmen, tahan aktivis di Hong Kong


Wartawan AFP menyaksikan sekurang-kurangnya enam orang ditahan polis semalam, termasuk aktivis Yu Wai-pan daripada parti Liga Sosial Demokrat (LSD). – Gambar AFP, 5 Jun, 2022.

PIHAK berkuasa Hong Kong semalam menahan beberapa orang dalam cubaan menyekat sebarang usaha penggenangan awam sempena 33 tahun tragedi Tiananmen, ketika China cuba memadamkan semua ingatan tentang tragedi berdarah itu.

Semua perbincangan tentang tragedi 4 Jun 1989 apabila tentera China menggunakan kereta kebal untuk menyuraikan tunjuk perasaan aman dilarang sama sekali.

Hong Kong, wilayah separa autonomi, adalah satu-satunya tempat di China yang penggenangan awam masih dijalankan, sehingga dua tahun lepas apabila Beijing mengenakan undang-undang keselamatan nasional bagi mengekang lawan pihak berkuasa selepas protes pro demokrasi besar-besaran berlaku pada 2019.

Wartawan AFP menyaksikan sekurang-kurangnya enam orang ditahan polis semalam, termasuk aktivis Yu Wai-pan daripada parti Liga Sosial Demokrat (LSD).

LSD berkata Yu sudah dibebaskan tanpa didakwa, tetapi rakannya Lau Shan-ching juga ditahan kerana memakai baju putih dengan portrait mendiang aktivis demokrasi China Li Wangyang dengan topeng merah tertulis “meratapi 4 Jun”.

Polis turut mengesahkan seorang lelaki berusia 80 tahun ditahan kerana menghalang penguatkuasa menjalakan tugas, tetapi sehingga malam tadi belum mengesahkan jumlah sebenar tangkapan yang dibuat.

Pihak berkuasa memberi amaran yang “terlibat dalam himpunan tidak sah” pada Sabtu mewujudkan risiko hukuman penjara maksimum lima tahun.

Mereka juga menutup sebahagian besar Victoria Park, yang dahulunya pernah menjadi ruang penggenangan.

Taman itu dan kawasan sekitar Causeway Bay dipenuhi polis semalam. – AFP, 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen