Pandemik hidupkan semula cita-cita tertangguh buka akademi ping pong


Diyana Ibrahim

Akademi Ping Pong Nitakku di Pasir Panjang, Kuala Terengganu yang dibuka oleh bekas atlet ping pong Lim You Jing dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Jun, 2022.

BEKAS atlet ping pong Lim You Jing mahu menjadikan negeri kelahirannya Terengganu pusat sukan itu apabila membuka sebuah akademi latihan di Kuala Terengganu yang akan mula beroperasi bulan depan.

Lim, 38, yang pernah menjadi pembantu jurulatih pasukan junior Australia juga membuka akademi ping pong itu untuk meneruskan cita-citanya yang tertangguh hampir 10 tahun lalu.

Cita-citanya dalam dunia ping pong terhenti pada 2014 apabila terpaksa pulang ke Terengganu untuk menguruskan perniagaan resort milik keluarga.

“Selepas saya balik ke Terengganu, saya memang tidak masuk campur hal ping pong di Malaysia. Saya hanya duduk sahaja di Pulau Redang ini uruskan perniagaan resort keluarga.

“Tapi sebelum ini adalah juga cita- cita nak buka akademi cuma selalu tertangguh. Sehinggalah semasa pelaksanaan PKP saya mula sedar saya tidak boleh terlalu bergantung kepada sektor pelancongan semata- mata,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sembilan tahun lalu, anak jati Terengganu ini berada di puncak kerjayanya sebagai pemain pong pong profesional. Ketika itu dia bernaung di kelab Rock Hampton, mewakili Queensland.

Dia juga pada masa itu menjadi penolong kepada jurulatih pasukan junior Australia, Oh Nam Hoo.

Tetapi semua itu terhenti apabila beliau pulang ke tanah air untuk menguruskan perniagaan keluarga. Perniagaan itu juga terjejas selepas pandemik Covid-19 melanda dunia sejak hujung 2019.

“Jadi cita- cita untuk buka akademi mula hidup semula, tambahan pula saya masih lagi boleh mendapat penajaan akademi di Australia,” tambahnya.

Akademi Ping Pong Nitakku di Pasir Panjang, Kuala Terengganu dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan.

Menurut Lim, akademi itu menawarkan fasiliti terbaik bertaraf olimpik seperti meja gelanggang dan lantai khas untuk sukan ping pong, serta lampu anti silau.

Lim berharap usahanya akan membawa pembaharuan dalam sukan ping pong di Malaysia, terutama Terengganu.

“Saya nak ubah kualiti sukan ini kerana di Terengganu kita tidak pernah lihat corak permainan ping pong yang profesional.

“Terengganu tidak ada pemain dan jurulatih yang betul menepati taraf antarabangsa. Kita tidak ada kemudahan fasiliti yang lengkap nak melatih bakat pemain, kalau nak bertanding pun kena turun ke Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya sukan ping pong juga tidak terkenal seperti sukan bola sepak dan badminton dan dapat meraih pendapatan lumayan sebagai pemain profesional.

Beliau mahu mengubah tanggapan itu, dan berharap akan melahirkan pemain profesional antarabangsa dengan kerjasama dan hubungan baiknya dengan pihak yang terlibat di luar negara, termasuk Korea Selatan.

Lim menyebut atlet Korea Selatan yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 Joo Sae Hyuk datang merasmikan akademinya bulan lepas.

“Kita rancang untuk adakan kem latihan setiap tahun di mana jurulatih dan pelajar dari sekolah ping pong di Korea Selatan akan dihantar berlatih bersama dengan pelatih akademi.

“Bagi pelatih yang berbakat kita akan cuba bawa mereka mewakili kelab antarabangsa, mereka boleh bermain dalam liga profesional dan sudah tentu dengan pendapatan lumayan,” katanya.

Lim menolak sentimen kononnya ping pong dikuasai kaum Cina.

Sukan tidak boleh jadi milik mana-mana kaum, katanya.

“Pengalaman saya bermain di peringkat antarabangsa isu itu tidak pernah timbul. Kita tidak pernah kata sukan itu hanya orang Cina saja main, orang Melayu saja main.

“Tambah pula bagi sukan ping pong ia disertai pelbagai kaum. Malah banyak juga atlet terbaik ping pong di Malaysia seperti Ashraf Haiqal Rizal,” katanya. – 5 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen