PENUBUHAN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sangat bertepatan bagi memastikan negeri itu diterajui pemimpin yang arif dengan situasi politik tempatan, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, pemimpin yang mempunyai kriteria itu penting bagi memastikan usaha memacu pembangunan Sabah berada di landasan betul dan mampu memberi manfaat kepada rakyat di Negeri di Bawah Bayu.
“Sebenarnya penubuhan GRS ada disuarakan dari peringkat pusat sebagai usaha untuk memastikan politik Sabah kekal diterajui oleh mereka yang lebih faham mengenai suasana di Sabah. Jadi kita Bersatu pusat menyokong penuh penubuhan GRS.
“Ini (gabungan GRS) adalah situasi yang mana peringkat Persekutuan kita ada isu menyebabkan gabungan kita berbeza namun di peringkat negeri boleh dilaksanakan (gabungan lain),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera penerangan Bersatu di Kota Kinabalu malam ini.
Komponen GRS terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Mengulas mengenai perjumpaan itu, Wan Saiful berkata, ia satu jelajah untuk berjumpa dengan semua jentera penerangan Bersatu Sabah dan mengadakan perjumpaan dengan jentera parti di Tawau, Sandakan, Ranau dan Kota Kinabalu.
“Esok saya akan ke Beaufort. Tujuan perjumpaan ini untuk memberi penjelasan kepada mereka mengenai perkembangan terkini parti dan politik di peringkat pusat. Selain itu kita akan bertukar pendapat dan berkongsi maklumat mengenai Sabah,” katanya. – Bernama, 4 Jun, 2022.
Komen